PROGRAM 15 MINIT INTEGRITY FIRST

Dimaklumkan bahawa Integrity First merupakan satu kempen yang diperkenalkan oleh Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor bagi memupuk amalan nilai murni semua anggota perkhidmatan awam negeri Johor agar mengutamakan amalan integriti dalam apa jua perkara yang dilakukan.
PIJ juga turut serta menjayakan “Program 15 Minit Integrity First” secara serentak pada 15 Januari 2024 , Jam 10.30 pagi.

SUMBANGAN AIR MINERAL BAGI PROGRAM BANTUAN PEMBERSIHAN PASCA BANJIR

14 Jan, Johor Bahru – PIJ telah menyerahkan sumbangan Air Mineral sebanyak 100 karton untuk program bantuan pembersihan pasca banjir monsun timur laut tahun 2024 bagi kawasan Majlis Daerah Kota Tinggi.
Penyerahan bantuan ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Abdul Rahman Bin Salleh, Pengurus Besar PIJ kepada Encik Taufiq Hidayat bin Mohamad, wakil Majlis Daerah Kota Tinggi.
Semoga dengan bantuan ini dapat melancarkan program pembersihan pasca monsun timur laut yang akan dilaksanakan kelak.

MAJLIS KHATAM AL-QURAN PERBADANAN ISLAM JOHOR

JOHOR BAHRU, 07 Januari – Perbadanan Islam Johor (PIJ) telah mengadakan satu Majlis Khatam Al-Quran buat kali ke-3.
PIJ telah menjemput Ustaz Haji Shamsuddin bin Mahdi bagi mengetuai bacaan Al-Quran dan juga memberikan tazkirah berkaitan kelebihan membaca Al-Quran.
Beliau memaklumkan bahawa terdapat tiga (3) amalan yang menjadi benteng pertahanan daripada gangguan syaitan adalah dengan mengimarahkan masjid, berzikir terhadap Allah SWT dan membaca Al-Quran.
Semoga tahun 2024 ini kita akan dapat sama-sama menyemarakkan bacaan suci Al-Quran dan menjadikan amalan bacaan Al-Quran sebagai gaya hidup seharian. Moga kita sentiasa dipelihara oleh Allah SWT dan terhindar dari segala keburukan.

Bengkel Penggunaan Non-Communicable Kit (NCD Kit)

10 Disember, Johor Bahru – PIJ dengan Kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah mengadakan Bengkel Penggunaan Non-Communicable Kit (NCD Kit) bagi Zon 1 Daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi bertempat di PERSADA JOHOR International Convention Centre.
Bengkel ini bertujuan untuk menerangkan tatacara penggunaan Kit Kesihatan yang telah disumbangkan oleh PIJ. Penerangan telah disampaikan oleh Dr. Norhana binti Ahmad Bahuri, Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit NCD, Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Dr. Siti Rupeah binti Tugiman, Pegawai Perubatan UD54, Unit NCD, Pejabat Kesihatan Daerah Kulai.
Program ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Abdul Rahman bin Salleh, Pengurus Besar PIJ. Turut hadir, Tuan Haji Jamaludin bin Haji A.Hamid, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
Perbadanan Islam Johor komited dalam usaha Kerajaan Negeri Johor untuk menyalurkan bantuan kepada Bangsa Johor yang menjalankan segala bentuk program kesihatan dan kegiatan untuk kemaslahatan ummah menerusi Program Bantuan Johor Sejahtera.
PIJ telah berinisiatif untuk memberikan sumbangan NCD Kit kepada 80 buah masjid bagi Fasa 1 dan 100 buah masjid bagi Fasa 2.
Semoga sumbangan PIJ ini dapat dimanfaatkan oleh semua penerima yang terdiri daripada masjid terpilih di seluruh Negeri Johor.

PROGRAM PERKAMPUNGAN ILMU INTERVENSI TAHFIZ ANJURAN BERSAMA SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM (SPI) JPNJ DENGAN KERJASAMA PERBADANAN ISLAM JOHOR (PIJ) TAHUN 2023

30 Nov, BATU PAHAT – Menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal bermula pada Disember 2023 (amali) ini, Perbadanan Islam Johor (PIJ) melalui Tabung Waqaf Rakyat Johor (TWRJ) telah berbesar hati menaja dan memberi sumbangan kepada Urusetia Program Perkampungan Ilmu Intervensi Tahfiz Anjuran Bersama Sektor Pendidikan Islam (SPI).
Program ini bertujuaan mempersiapkan pelajar bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijangka bermula 5 Disember 2023 (amali) – 30 Januari 2024 (bertulis). Tiga buah sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Bekok, Sekolah Menengah Benut dan Sekolah Menengah Simpang Renggam yang melibatkan lebih 100 orang pelajar.
Selain itu, program turut memfokuskan kepada pendedahan Teknik Menjawab bagi 5 teras matapelajaran utama. (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Sains). Turut hadir, Encik Khirul Nizam bin Mat Said, Timbalan Pengurus Besar selaku wakil rasmi Pengurus Besar bagi merasmikan Majlis Perasmian Penutup program tersebut yang telah berlangsung di Hotel Katerina, Batu Pahat.
Semoga program ini dapat dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar, dan PIJ mengucapkan Selamat Maju Jaya dalam menghadapi peperiksaan kelak, InsyaAllah.

Majlis Perpisahan En Abdullah Hazim

Pada 22 November 2023 telah diadakan majlis perpisahan En.Abdullah Hazim bin Abd Wahab, Penolong Pengurus Waqaf PIJ. Beliau telah memulakan perkhidmatan pada 1.8.2018 sehingga 22.11.2023. Segala jasa dan khidmat bakti beliau di PIJ sentiasa dalam ingatan dan semoga selamat maju jaya di tempat yang baru.

 

DAULAT TUANKU

“Selamat Ulang Tahun Hari Keputeraan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim pada 22 November 2023 Bersamaan 8 Jamadilawal 1445 Hijrah”
Sembah takzim daripada Pengurus Besar dan Warga Kerja Perbadanan Islam Johor serta Anak Syarikat Dalam Kumpulan.
ALLAH PELIHARAKAN SULTAN

Bantuan Amal Jariah

16 November, Johor Bahru – Lawatan ke kediaman untuk menyantuni penerima Bantuan Amal Jariah, PIJ, iaitu adik Nur Alisha binti Mohd Alfin.
Lawatan diketuai oleh Tuan Haji Azizi Redza bin Zainal, Pengurus Pembangunan Kanan selaku wakil rasmi Pengurus Besar, PIJ.
Adik Nur Alisha yang berusia 4 tahun menghidap kerencatan pertumbuhan pembesaran (Spastic Quadriplegic Cerebral Palsy) sejak lahir dan juga terdapat ketumbuhan cecair di otaknya.
Perbadanan Islam Johor (PIJ) melalui inisiatif Bantuan Amal Jariah telah menyumbangkan sebuah kerusi roda untuk adik Nur Alisha.
Semoga dengan pemberian sumbangan ini, sedikit sebanyak boleh membantu melancarkan serta memudahkan urusan harian adik Nur Alisha dan keluarga.

PROGRAM KURNIAAN SUMBANGAN BERAS YAYASAN SULTAN IBRAHIM

Menjunjung kasih DYMM Sultan Johor, dibawah Sultan Ibrahim Johor Foundation telah berkenan untuk mengurniakan beras bagi diagihkan kepada rakyat yang kurang berkemampuan di seluruh Negeri Johor.
Perbadanan Islam Johor (PIJ) tidak terkecuali dalam pengagihan beras tersebut dimana terdapat dua keluarga angkat yang mendapat bantuan terus dari PIJ. Selain beras, makanan kering berupa biskut, roti, minyak masak turut disumbangkan oleh PIJ.
Sumbangan ini telah disampaikan sendiri oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Rahman bin Salleh, Pengurus Besar PIJ bersama Encik Khirul Nizam bin Mat Said, Timbalan Pengurus Besar PIJ dan Tuan Haji Azizi Redza bin Zainal, Pengurus Pembangunan Kanan PIJ.
DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim sentiasa cakna dan menitikberatkan kebajikan rakyatnya terutamanya susulan kenaikan harga barangan keperluan asas seperti beras yang kini menjadi keresahan dan keluhan rakyat.
Semoga dengan sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban mereka dalam menjalani kehidupan seharian.
Allah Peliharakan Sultan.
Allah Berkati Johor.

BENGKEL PENYELARASAN DAN PEMANTAPAN PROGRAM INTRVENSI TAHFIZ (SPM) MODEL BEKOK PERINGKAT NEGERI JOHOR TAHUN 2023

KOTA TINGGI, 12 Oktober – Perbadanan Islam Johor (PIJ) melalui Tabung Waqaf Rakyat Johor telah mengambil inisiatif mengadakan Bengkel Penyelarasan dan Pemantapan Program Intervensi Tahfiz (SPM) Model Bekok Peringkat Negeri Johor 2023 yang telah diadakan di TS Beach Resort, Kota Tinggi, Johor.
Program ini dihadiri oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Pejabat Pendidikan Daerah, SMK Bekok Segamat, SMK Benut, SMK Simpang Renggam dan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI). Turut hadir Dato’ Haji Abdul Rahman bin Salleh, Pengurus Besar PIJ, Tn. Hj. Md Lukmanulhakim Bin Mashadi, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Pendidikan Islam) dan Prof. Madya Dr. Hussin Salamon, Rektor KUIJSI.
Matlamat Program Intervensi Tahfiz (SPM) Model Bekok ini bertujuan membantu pelajar-pelajar tahfiz swasta melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi secara formal dan diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia. PIJ melalui TWRJ telah menaja Program Intervensi Tahfiz (SPM) Peringkat Negeri Johor sejak dari tahun 2018 sehingga kini kepada 3 buah sekolah.
Tujuan bengkel ini diadakan adalah bagi menyelaras dan memantapkan lagi sistem pengajaran dan memberi pendedahan serta kemahiran yang tinggi kepada pelajar-pelajar tahfiz.
Selain itu, program ini bertujuan berkongsi amalan baik yang boleh digunapakai oleh semua dalam melancarkan lagi program intervensi tahfiz ini.
Harapan PIJ pada masa akan datang adalah setiap daerah dalam Negeri Johor dapat menjalankan program ini supaya lebih ramai pelajar-pelajar tahfiz mendapat pensijilan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), InsyaAllah.