PENYERAHAN BANTUAN KEPADA MANGSA KEBAKARAN DI KG PAYA MAS, SIMPANG RENGGAM

24 Disember, SIMPANG RENGGAM – PIJ telah menyerahkan bantuan peralatan kelengkapan rumah kepada mangsa kebakaran. Rentetan daripada lawatan yang telah diadakan pada 04 Disember yang lalu, PIJ berinisiatif untuk menyumbangkan peralatan kelengkapan rumah kepada mangsa kebakaran tersebut.
Sesi penyerahan bantuan ini telah disempurnakan oleh Encik Khairul Hafiz bin Mohamad @ Mazlan, Timbalan Pengurus Besar selaku wakil rasmi Pengurus Besar PIJ.
Semoga bantuan yang disalurkan ini sedikit sebanyak meringankan beban keluarga dalam menjalani kehidupan dengan lebih baik pada masa akan datang.
Onn Hafiz Ghazi
Pejabat Daerah Kluang
#PIJCare4U
#PIJPrihatin
#PerbadananIslamJohor
#KeteguhanEkonomiMembangunUmmah
#TabungWaqafRakyatJohor
#MembangunSwadayaUmmah

PERBADANAN ISLAM JOHOR MENYANTUNI MANGSA KEBAKARAN DI KG PAYA MAS, SIMPANG RENGGAM

04 Disember, SIMPANG RENGGAM – PIJ telah mengadakan lawatan bagi menyantuni mangsa kebakaran disini yang diketuai oleh Ybhg. Encik Khairul Hafiz bin Mohamad @ Mazlan, Timbalan Pengurus Besar selaku wakil rasmi Pengurus Besar PIJ.
Lawatan ini turut disertai pegawai dari Pejabat Daerah Kluang, Majlis Agama Islam Daerah Kluang, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kluang Jkm Kluang, Pegawai Khas ADUN Machap dan Penghulu Mukim Ulu Benut.
Menerusi sesi lawatan ini, kesemua agensi kerajaan persekutuan dan negeri telah berbincang berkenaan bentuk pemberian bantuan kepada keluarga ini.
Semoga bantuan yang akan disalurkan kelak mampu mempermudah urusan keluarga ini pada masa akan datang.

PENYERAHAN SUMBANGAN KELENGKAPAN KIT TOILETRIES BAGI PERSEDIAAN MENGHADAPI MONSUN TIMUR LAUT (MTL) 2024/2025

02 Dis, Johor Bahru – Sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November 2024 hingga Mac 2025, PIJ mengambil inisiatif menyampaikan bantuan awal kepada daerah-daerah berisiko dilanda banjir.
PIJ telah hadir ke Southern Volunteers (SV) di Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) bagi sesi penyerahan sumbangan 600 unit “Kit Toiletries” bagi kegunaan mangsa banjir di Negeri Johor.
Penyerahan sumbangan “Kit Toiletries” ini telah disempurnakan oleh Tuan Haji Hasrin Kamal Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ merangkap Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor kepada Encik Hayat Nurullah bin Jamalulil, Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Acara) Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia Dan Sukarelawan). Turut hadir Encik Tunaim bin Satiman, Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Selatan (Southern Volunteers).
Semoga dengan inisiatif awal ini akan dapat meringankan beban mangsa banjir kelak dalam menghadapi banjir dalam keadaan persekitaran yang bersih dan selamat.

PROGRAM PEMBANGUNAN USAHAWAN TUKANG KASUT PERBADANAN ISLAM JOHOR TAHUN 2024

03 Disember, JOHOR BAHRU – Penyerahan bantuan peralatan bagi Program Pembangunan Usahawan Tukang Kasut PIJ Tahun 2024 telah berlangsung di sekitar daerah Johor Bahru, Pasir Gudang, dan Kota Tinggi.
Encik Muhamad Faisal Bin Ahmad, Penolong Pengurus Pembangunan telah hadir selaku wakil rasmi Pengurus Besar manakala pihak Perbadanan Usahawan Johor telah diwakili oleh Cik Umi Kalsom binti Nizam, Pembantu di Jabatan Pembangunan Usahawan PUJB selaku wakil rasmi Pengarah Eksekutif PUJB.
Pada tahun ini, seramai 25 orang peserta telah terpilih untuk menerima bantuan ini dimana setiap peserta bukan sahaja diajar teori berkaitan pemasaran produk dan pengurusan perakaunan yang efisien, malah setiap peserta juga menerima peralatan / mesin untuk mengembangkan lagi perniagaan yang sedia ada.
Sebagai sebuah Badan Berkanun Kerajaan Negeri Johor, PIJ komited dalam mengembangkan sektor keusahawanan khususnya di Negeri Johor agar dapat merancakkan ekonomi Negeri Johor secara amnya. Semoga dengan adanya bantuan seperti ini, lebih banyak usahawan yang berdaya saing pada masa akan datang.

PENYERAHAN SUMBANGAN KELENGKAPAN KIT TOILETRIES BAGI PERSEDIAAN MENGHADAPI MONSUN TIMUR LAUT 2024/2025 28 Nov, Segamat – Sebagai persediaa

28 Nov, Segamat – Sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November 2024 hingga Mac 2025, PIJ mengambil inisiatif menyampaikan bantuan awal kepada daerah-daerah berisiko dilanda banjir.
PIJ telah hadir ke Pejabat Penghulu Mukim Sungai Segamat bagi sesi penyerahan sumbangan 400 unit “Kit Toiletries” bagi kegunaan mangsa banjir di daerah Segamat.
Penyerahan sumbangan “Kit Toiletries” ini telah disempurnakan oleh Encik Muhamad Faisal Bin Ahmad, Penolong Pengurus Pembangunan selaku wakil rasmi Pengurus Besar PIJ kepada Encik Nor Rafizan Bin A. Rahman, Penghulu Kanan Daerah Segamat Merangkap Penghulu Mukim Sungai Segamat.
Semoga dengan inisiatif awal ini akan dapat meringankan beban mangsa banjir kelak dalam menghadapi banjir dalam keadaan persekitaran yang bersih dan selamat.

PROGRAM BANTUAN KURSUS KEWANGAN DAN RANCANGAN PERNIAGAAN, BANTUAN AMAL JARIAH

27 November 2024, SIRIM Johor – Seminar Transformasi Bisnes Mencipta Jenama Kosmetik Anda adalah merupakan program anjuran bersama PIJ dan SIRIM.
Perbadanan Islam Johor (PIJ) melalui inisiatif Bantuan Amal Jariah telah menaja sebuah program khas untuk usahawan Johor yang berminat dalam mengembangkan sektor keusahawanan berasaskan kosmetik dan kecantikan.
Program ini memberikan tumpuan kepada peningkatan pengetahuan teknikal di dalam bidang pembuatan produk-produk kosmetik kepada para peserta dan seterusnya melahirkan usahawan yang lebih berdaya saing di dalam menghasilkan produk kosmetik yang berkualiti dan selamat digunakan.
Pada peringkat ini, seramai 30 orang peserta telah hadir bagi mengikuti sesi kursus ini dan akan diteruskan di fasa seterusnya dimana 16 orang peserta yang layak akan dibawa ke Fasa 2 iaitu Bengkel Pembuatan Produk Kosmetik di Loji Pandu (GMP) SIRIM Berhad.
Semoga dengan penganjuran program ini akan menghasilkan usahawan baru yang berdaya saing dalam industri kosmetik dan menambah lebih peluang perniagaan kepada usahawan yang sedia ada.

PENYERAHAN KERUSI RODA DI BAWAH PROGRAM BANTUAN PERUBATAN, BANTUAN AMAL JARIAH PIJ

27 November 2024, Johor Bahru – Penyerahan Kerusi Roda dibawah Program Bantuan Perubatan, Bantuan Amal Jariah PIJ.
Perbadanan Islam Johor (PIJ) melalui inisiatif Bantuan Amal Jariah telah menyumbangkan sebuah kerusi roda untuk adik Muhammad Aqil bin Azharuddin, berusia 12 tahun yang telah disahkan menghidapi Spastic Quadriplegic Cerebral Palsy With Hydrocephalus sejak lahir.
Sesi Penyerahan Kerusi Roda telah disempurnakan oleh Encik Muhamad Faisal Bin Ahmad, Penolong Pengurus Pembangunan dari Unit Insan, Bahagian Pembangunan selaku wakil rasmi Pengurus Besar, PIJ.
Semoga dengan pemberian sumbangan ini, sedikit sebanyak boleh membantu melancarkan serta memudahkan urusan harian adik Muhammad Aqil bin Azharuddin sekeluarga.

SESI ‘CLOCK IN’ PENGURUS BESAR PERBADANAN ISLAM JOHOR (PIJ)

25 November 2024 (Isnin) – Sesi ‘Clock In’ oleh YBhg. Tuan Haji Hasrin Kamal bin Hashim yang bertempat di Tingkat 3, Bangunan PIJ, Jalan Rebana, Kebun Teh, Johor Bahru, Johor.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada YBhg. Tuan Haji Hasrin Kamal bin Hashim di atas mandat bagi menanggung kerja Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor yang telah berkuat kuasa pada 24 November 2024 (Ahad).
Sesi tersebut turut disusuli dengan Sesi Ramah Mesra Bersama Ketua-ketua Bahagian PIJ. Semoga dengan semangat dan komitmen bersama, PIJ mampu melangkah lebih jauh demi kemajuan ummah.
Seluruh warga PIJ mengucapkan Selamat Datang dan Tahniah sekali lagi kepada YBhg. Tuan Haji Hasrin Kamal.

20 NOVEMBER 2024 (RABU) : SESI ‘CLOCK OUT’ PENGURUS BESAR PERBADANAN ISLAM JOHOR

Tepat jam 5.00 petang telah berlangsung sesi ‘clock out’ Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor, Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Rahman bin Salleh yang akan bersara wajib setelah genap 31 tahun berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Negeri Johor.
Seluruh warga PIJ mendoakan semoga Yang Berhormat Dato’ dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan dan sentiasa di dalam lindungan Allah S.W.T.
Pulau Payung pulau misteri,
Mandi pagi ditepi perigi,
Terima kasih jasa dan bakti,
Ada rezeki, kita berjumpa lagi.

MAJLIS SANJUNGAN BUDI SEMPENA PERSARAAN YANG BERHORMAT DATO’ HAJI ABDUL RAHMAN BIN SALLEH, PENGURUS BESAR PERBADANAN ISLAM JOHOR

12 NOVEMBER 2024 | SELASA | 11:00 PAGI | GRAND BALLROOM 1, 2 LEVEL 11, DOUBLETREE BY HILTON, JOHOR BAHRU
Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Rahman bin Salleh, Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor (PIJ) telah hadir ke majlis gilang gemilang ini bersempena dengan persaraan beliau selaku Pengurus Besar PIJ.
Majlis diteruskan dengan YBrs Tuan Khairul Hafiz bin Mohamad@Mazlan, Timbalan Pengurus Besar PIJ, memberikan ucapan selaku wakil pengkhidmat dan warga kerja PIJ dengan rasa penuh penghargaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Rahman bin Salleh, Pengurus Besar PIJ di atas segala khidmat bakti dan jasa yang telah diberikan sepanjang berkhidmat di PIJ khasnya dan Negeri Johor amnya.
Di dalam majlis ini juga Yang Berhormat Dato’ sempat menyampaikan cenderahati kepada Mantan Timbalan Pengurus Besar PIJ iaitu Encik Khirul Nizam bin Mat Said yang akan bertukar dan berpindah sebagai Pengarah Jabatan Landskap Negeri Johor yang baharu.
Yang Berhormat Dato’ telah mula berkhidmat bersama PIJ pada 15 Februari 2023 hingga 21 November 2024 selaku Pengurus Besar PIJ.
Sepanjang tempoh 31 tahun perkhidmatan beliau sebagai Pegawai Tadbir Negeri Johor di pelbagai jabatan telah banyak sumbangan serta jasa yang ditaburkan. Selain itu juga, beliau merupakan seorang yang berdedikasi didalam melaksanakan tugasan dan amanah yang diberikan.
Semoga kenangan Yang Berhormat Dato’ di PIJ akan menjadi antara memori yang terindah disepanjang perkhidmatan beliau.
Warga Kerja PIJ mendoakan agar segala urusan Yang Berhormat Dato’ dipermudahkan dan dikurniakan kesihatan baik yang berpanjangan.
Selamat Bersara Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Rahman bin Salleh dan Terima Kasih.
Turut hadir di dalam majlis ini Tuan Abdul Malik bin Haji Ismail, Pengarah Urusan PIJ Holdings Sdn. Bhd., Tuan Haji Md Asri bin Amir, Pengurus Besar PIJ Holdings Sdn. Bhd., anak-anak syarikat PIJ, pegawai-pegawai kanan PIJ, pegawai serta pengkhidmat PIJ.