Bengkel Penggunaan Non-Communicable Kit (NCD Kit)

10 Disember, Johor Bahru – PIJ dengan Kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah mengadakan Bengkel Penggunaan Non-Communicable Kit (NCD Kit) bagi Zon 1 Daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi bertempat di PERSADA JOHOR International Convention Centre.
Bengkel ini bertujuan untuk menerangkan tatacara penggunaan Kit Kesihatan yang telah disumbangkan oleh PIJ. Penerangan telah disampaikan oleh Dr. Norhana binti Ahmad Bahuri, Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit NCD, Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Dr. Siti Rupeah binti Tugiman, Pegawai Perubatan UD54, Unit NCD, Pejabat Kesihatan Daerah Kulai.
Program ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Abdul Rahman bin Salleh, Pengurus Besar PIJ. Turut hadir, Tuan Haji Jamaludin bin Haji A.Hamid, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
Perbadanan Islam Johor komited dalam usaha Kerajaan Negeri Johor untuk menyalurkan bantuan kepada Bangsa Johor yang menjalankan segala bentuk program kesihatan dan kegiatan untuk kemaslahatan ummah menerusi Program Bantuan Johor Sejahtera.
PIJ telah berinisiatif untuk memberikan sumbangan NCD Kit kepada 80 buah masjid bagi Fasa 1 dan 100 buah masjid bagi Fasa 2.
Semoga sumbangan PIJ ini dapat dimanfaatkan oleh semua penerima yang terdiri daripada masjid terpilih di seluruh Negeri Johor.

PROGRAM PERKAMPUNGAN ILMU INTERVENSI TAHFIZ ANJURAN BERSAMA SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM (SPI) JPNJ DENGAN KERJASAMA PERBADANAN ISLAM JOHOR (PIJ) TAHUN 2023

30 Nov, BATU PAHAT – Menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal bermula pada Disember 2023 (amali) ini, Perbadanan Islam Johor (PIJ) melalui Tabung Waqaf Rakyat Johor (TWRJ) telah berbesar hati menaja dan memberi sumbangan kepada Urusetia Program Perkampungan Ilmu Intervensi Tahfiz Anjuran Bersama Sektor Pendidikan Islam (SPI).
Program ini bertujuaan mempersiapkan pelajar bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijangka bermula 5 Disember 2023 (amali) – 30 Januari 2024 (bertulis). Tiga buah sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Bekok, Sekolah Menengah Benut dan Sekolah Menengah Simpang Renggam yang melibatkan lebih 100 orang pelajar.
Selain itu, program turut memfokuskan kepada pendedahan Teknik Menjawab bagi 5 teras matapelajaran utama. (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Sains). Turut hadir, Encik Khirul Nizam bin Mat Said, Timbalan Pengurus Besar selaku wakil rasmi Pengurus Besar bagi merasmikan Majlis Perasmian Penutup program tersebut yang telah berlangsung di Hotel Katerina, Batu Pahat.
Semoga program ini dapat dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar, dan PIJ mengucapkan Selamat Maju Jaya dalam menghadapi peperiksaan kelak, InsyaAllah.