MAJLIS PENYERAHAN REPLIKA CEK BANTUAN AMAL JARIAH PIJ ANTARA PIJ DAN PUJB

07 Feb, Johor Bahru – Perbadanan Islam Johor (PIJ) dengan kerjasama Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) telah mengadakan Majlis Penyerahan Cek Bantuan Amal Jariah PIJ (Bantuan Usahawan Tukang Kasut) kepada 13 usahawan tukang kasut terpilih di seluruh Negeri Johor.
Usahasama PIJ dan PUJB telah pun bermula sejak tahun 2015 dimana pelbagai program pengembangan keusahawanan telah dijalankan bersama-sama. Antara program usahasama yang telah memberi impak besar pada ketika itu adalah Program Usahawan Belia, Program Indienomic dan Program Kursus Kewangan dan Perancangan Perniagaan. Melalui program-program bantuan ini, PIJ telah menyumbangkan jumlah keseluruhan bantuan melebihi RM1 Juta.
PIJ meneruskan lagi kesinambungan usahasama dengan PUJB dengan menganjurkan Program Bantuan Pengembangan Perniagaan yang memberi fokus kepada usahawan tukang kasut di Negeri Johor. Usaha ini selaras dengan peranan PIJ sebagai Badan Berkanun Kerajaan Negeri Johor yang mendukung agenda sosio ekonomi umat Islam di mana PIJ memainkan peranan dalam perkembangan sektor keusahawanan dalam kalangan rakyat Negeri Johor.
Semoga sumbangan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dan menjadi pemangkin semangat kepada usahawan untuk terus maju ke hadapan di masa akan datang.