MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 1446H

23 April, JOHOR BAHRU – Perbadanan Islam Johor (PIJ) dengan kerjasama Anak Syarikat dalam Kumpulan telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1446H bertempat di Bora-Bora Lake, Como Hall Sunway, Iskandar Puteri, Johor Bahru, Johor bertemakan ‘Horay Horey Raya’.
Kehadiran Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dan Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Islam Johor menambah seri dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PIJ dan Kumpulan pada tahun ini.
YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani dan YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid turut meluangkan masa untuk merakamkan gambar kenang-kenangan bersama kakitangan PIJ dan juga tetamu lain yang turut hadir memeriahkan majlis ini.
Majlis bermula seawal jam 11.00 pagi sehingga 3 petang dan dihadiri oleh tetamu dari pelbagai jabatan, syarikat dan individu.
Semoga majlis sambutan aidilfitri ini dapat memantapkan ukhuwah yang terjalin disamping menikmati hidangan juadah yang disediakan.
Salam Aidilfitri Maaf Zahir & Batin.

Mesyuarat Jawatankuasa Audit dan Pemeriksaan PIJ

17 April, JOHOR BAHRU– Perbadanan Islam Johor telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Audit dan Pemeriksaan PIJ Bilangan 1 Tahun 2025 yang bertempat di Bilik Mesyuarat Perbadanan Islam Johor, Aras 3, Bangunan PIJ.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd Khalid.
Turut hadir, Ahli-ahli Jawatankuasa dan Pengurus Besar PIJ, Hajah Shubanah binti Yusuf.

PENYERAHAN KOTAK REZEKI BAGI PROGRAM JELAJAH ORANG JOHOR (JOJ) 2025

15 April, JOHOR BAHRU – Pengurus Besar, Hajah Shubanah Binti Yusuf telah hadir di Kompleks Penyayang Kempas bagi penyerahan 33 Kotak Rezeki kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor (JKM), Tuan Haji Ahmad Hashim Bin Selamat. JKM adalah merupakan sekretariat JOJ bagi tahun 2025.
Untuk makluman, JOJ adalah program yang telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor. Program yang diilhamkan oleh Kerajaan Negeri ini adalah bertujuan untuk mengeratkan jalinan hubungan mesra antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Semoga sumbangan ini dapat memberikan manfaat kepada penerima serta menzahirkan sokongan PIJ kepada program ini.
YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi

MESYUARAT LEMBAGA PENGARAH PERBADANAN ISLAM JOHOR KE 95

14 Apr, JOHOR BAHRU – PIJ telah mengadakan Mesyuarat Lembaga Pengarah Perbadanan Islam Johor Ke 95 bertempat di Bilik Mesyuarat Tingkat 3, Bangunan Perbadanan Islam Johor di Jalan Rebana, Kebun Teh.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Bin Ghazi, Menteri Besar Johor selaku Pengerusi PIJ.
Mesyuarat ini bertujuan untuk membentangkan laporan kewangan, aktiviti serta prestasi PIJ. Selain itu, mesyuarat ini juga adalah bagi memastikan PIJ berfungsi dengan baik dan mencapai matlamat dan fungsi yang telah ditetapkan.
Turut hadir, Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Pengurus Besar PIJ, Hajah Shubanah binti Yusuf. Hadir sama, barisan pengurusan tertinggi Perbadanan Islam Johor (PIJ).
Semoga PIJ berupaya menjadi pemangkin kemajuan ekonomi yang positif dalam memajukan masyarakat Islam khususnya di Negeri Johor.

BENGKEL LATIHAN SISTEM KEWANGAN eSPi KEPADA PEGAWAI DAN ANGGOTA PERBADANAN ISLAM JOHOR (PIJ)

24 – 26 Februari 2025, Johor Bahru – Bengkel Latihan Sistem Kewangan eSPi telah diadakan selama 3 hari yang bermula pada 24 Februari sehingga 26 Februari 2025 di Bilik Mesyuarat, Aras 7, KSL Hotel & Resort, Johor Bahru.
Bengkel ini telah dihadiri oleh pegawai-pegawai dan anggota PIJ seramai 39 orang bagi memberikan pendedahan awal tentang penggunaan sistem perakaunan yang baru. Syarikat SAF Pilihan Sdn Bhd merupakan syarikat yang telah membekalkan sistem perakaunan tersebut ke PIJ.
Objektif bengkel ini dilaksanakan adalah bagi mengukuhkan ilmu pemahaman tentang sistem perakaunan yang akan digunakan selaras dengan pematuhan sistem perakaunan yang standard bagi agensi kerajaan selain mematuhi kriteria pematuhan SAGA.
Semoga bengkel ini dapat meningkatkan kemahiran dalam menggunakan sistem perakaunan yang baru dengan lebih cekap dan efisien, sekaligus dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja dalam organisasi.

PROGRAM KERJASAMA PIJ DAN PUJB BAGI TAHUN 2025

27 Feb 2025 – Kunjung Hormat oleh Ketua Pegawai Eksekutif PUJB, Tn Hj Mohd Radzi bin Hj Amin kepada Pengurus Besar PIJ, Hajah Shubanah binti Yusuf telah diadakan hari ini, di Bilik Mesyuarat PIJ. Turut serta dalam delegasi PUJB adalah Pengurus Besar PUJB, Tn Hj Mohamad Radif bin Hj Kosnin.
PIJ akan terus komited dalam mengembangkan sektor keusahawanan di dalam Negeri Johor seiring dengan penglibatannya didalam Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ). PUJB telah membentangkan beberapa perancangan program kerjasama bagi tahun 2025. Turut dibentangkan adalah laporan pelaksanaan program kerjasama bagi tahun 2024 yang telah selesai dilaksanakan.
Semoga Kerjasama yang terjalin ini dapat diteruskan di masa akan datang demi mengembangkan sector keusahawanan di Negeri Johor.

KUNJUNG HORMAT PERBADANAN ISLAM JOHOR (PIJ) KE PEJABAT KUMPULAN PRASARANA RAKYAT JOHOR (KPRJ)

27 Februari 2025 (Khamis), Iskandar Puteri- YBhg. Hajah Shubanah binti Yusuf, Pengurus Besar PIJ telah meluangkan masa untuk sesi kunjung hormat kepada Yang Berhormat Dato’ Lukman bin Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ.
Kunjung hormat ini bertujuan bagi menjalin hubungan dengan KPRJ selain berkongsi idea dalam menentukan hala tuju perjalanan sesebuah organisasi.
Turut hadir dalam sesi kunjung hormat tersebut ialah Timbalan Pengurus Besar PIJ, Encik Khairul Hafiz Bin Mohamad@Mazlan dan pegawai-pegawai kanan PIJ serta KPRJ.
Semoga dengan pertemuan dua hala ini menjadi pemacu dalam memberikan nafas baru bagi pengurusan PIJ merencanakan perubahan dalam kemajuan serta kestabilan sesebuah organisasi pada masa akan datang demi pembangunan ekonomi umat Islam dan kemaslahatan ummah di negeri Johor.

SUMBANGAN SEMPENA SAMBUTAN HARI PENDENGARAN SEDUNIA PERINGKAT NEGERI JOHOR 2025

22 Feb, JOHOR BAHRU – PIJ sebagai sebuah Badan Berkanun Kerajaan Negeri sekali lagi telah menjalankan fungsinya dalam membantu insan-insan istimewa dengan menyumbangkan alat bantuan pendengaran sebanyak 6 unit M-SPEAK melalui Professional and Support Group Of Cochlea Implant Society Johor (PROCIJ) kepada Perkhidmatan Otorinolaringologi, Audiologi dan Terapi Pertuturan Negeri Johor.
Sumbangan ini adalah untuk kegunaan 6 buah hospital kerajaan di dalam Negeri Johor. Majlis telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dr Haji Mohtar bin Pungut @ Haji Ahmad dan PIJ telah diwakili oleh Tuan Haji Azizi Redza Bin Zainal selaku wakil rasmi Pengurus Besar.
Semoga usaha murni yg baik ini akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Negeri Johor khususnya insan-insan istimewa yang mempunyai masalah pendengaran. Majlis ini juga telah mendapat kerjasama Zoo Johor.

LAWATAN PENGURUS BESAR PERBADANAN ISLAM JOHOR (PIJ) KE SEKOLAH-SEKOLAH BAGI BANTUAN BILIK TERAPI MULTI SENSORI TAHUN 2025

18 Februari 2025 (Selasa) – Lawatan ke 2 buah sekolah bagi Bantuan Bilik Terapi Multi Sensori oleh YBhg. Hajah Shubanah binti Yusuf, Pengurus Besar PIJ telah berlangsung pada hari ini. Turut serta dalam lawatan ini adalah Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Puan Nor Haliza Binti Saibun serta Pegawai-pegawai Kanan Sektor Pendidikan Khas JPNJ.
Bantuan Bilik Terapi Multi Sensori merupakan antara Program Tahunan bagi Bantuan Amal Jariah PIJ. Untuk bantuan ini, 2 buah sekolah yang telah dicadangkan ialah Sekolah Kebangsaan Benut, Pontian dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Johor Bahru, Taman Ungku Tun Aminah. Di dalam sesi lawatan ini juga, delegasi PIJ telah diberi pendedahan mengenai pengoperasian serta keperluan Bilik Terapi Multi Sensori di sekolah tersebut.
Turut hadir dalam sesi lawatan tersebut ialah Timbalan Pengurus Besar PIJ, Encik Khairul Hafiz Bin Mohamad@Mazlan, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas JPNJ, Tuan Haji Yahya Bin Ali serta diiringi oleh Tuan Haji Azizi Redza bin Zainal selaku Pengurus Pembangunan Kanan PIJ.
Semoga Program Bantuan Amal Jariah PIJ ini dapat memberi peluang kepada PIJ untuk bekerjasama lagi dgn pihak JPNJ pada masa hadapan demi kemajuan Sektor Pendidikan Khas di Negeri Johor.

SEKALUNG TAHNIAH & SELAMAT DATANG

SEKALUNG TAHNIAH & SELAMAT DATANG
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Hajah Shubanah binti Yusuf di atas pelantikan sebagai Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor.
Semoga PIJ terus berkembang maju di masa akan datang. Tulus Ikhlas daripada Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan dan Warga Kerja PIJ.