PEMBENTANGAN KERJASAMA STRATEGIK OLEH PERBADANAN ISLAM JOHOR DAN KUMPULAN (PEMBANGUNAN INDUSTRI HALAL)

24 Oktober, Johor Bahru – Perbadanan Islam Johor (PIJ) dan Kumpulan telah mengadakan sesi perbincangan dan pembentangan bersama pihak Iskandar Regional Development Authority (IRDA) bagi meneroka peluang kerjasama strategik dalam memperkukuh pembangunan industri halal di Negeri Johor.
Perbincangan ini memberi tumpuan kepada potensi kolaborasi dalam aspek pembangunan ekosistem halal yang menyeluruh termasuk sektor pengeluaran, pemprosesan, pensijilan, serta promosi produk halal tempatan di bawah jenama Johor.
Melalui kerjasama ini, PIJ dan Kumpulan bersama IRDA berhasrat untuk memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab halal serantau selaras dengan agenda pembangunan ekonomi Islam negeri.
Delegasi PIJ dan Kumpulan diketuai oleh YB Tuan Haji Mohd. Fared Haji Mohd. Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor. Manakala, pihak IRDA diketuai oleh YB Dato’ Haji Mohd. Noorazam bin Dato’ Haji Osman, CEO IRDA. Turut hadir, Hajah Shubanah binti Yusuf, Pengurus Besar PIJ dan Encik Abdul Malik Ismail, Pengarah Urusan PIJ Holdings Sdn. Bhd.
Yang Behormat Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid

KURSUS TATACARA PENGURUSAN PEROLEHAN

22 & 23 Oktober, Johor Bahru – Bagi memperkukuh tadbir urus dan kefahaman dalam pelaksanaan proses perolehan yang telus dan berintegriti, Perbadanan Islam Johor (PIJ) telah menganjurkan Kursus Tatacara Pengurusan Perolehan yang melibatkan penyertaan Pengurus Besar PIJ, pegawai dan pengkhidmat daripada pelbagai bahagian.
Kursus ini memberi pendedahan menyeluruh mengenai dasar, tatacara serta garis panduan perolehan semasa, selaras dengan keperluan peraturan kewangan dan tadbir urus korporat PIJ.
Melalui sesi interaktif dan perkongsian pengalaman bersama penceramah jemputan, Encik Muhammad Nashruddin Al-Fateh bin Mohd Sapie, Penolong Pegawai Tadbir, Unit Perolehan, Pejabat Perbendaharaan Negeri Johor, peserta diberi peluang memahami dengan lebih mendalam proses perolehan yang berkesan serta amalan terbaik bagi memastikan urusan pembelian dan kontrak dijalankan secara cekap, telus dan berintegriti.
PIJ terus komited dalam memperkukuh kecekapan pengurusan dalaman demi memastikan setiap urusan perolehan menyumbang kepada pengurusan korporat yang cemerlang dan berakauntabiliti.