PENYERAHAN SUMBANGAN KELENGKAPAN KIT TOILETRIES BAGI PERSEDIAAN MENGHADAPI MONSUN TIMUR LAUT (MTL) 2024/2025

02 Dis, Johor Bahru – Sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November 2024 hingga Mac 2025, PIJ mengambil inisiatif menyampaikan bantuan awal kepada daerah-daerah berisiko dilanda banjir.
PIJ telah hadir ke Southern Volunteers (SV) di Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) bagi sesi penyerahan sumbangan 600 unit “Kit Toiletries” bagi kegunaan mangsa banjir di Negeri Johor.
Penyerahan sumbangan “Kit Toiletries” ini telah disempurnakan oleh Tuan Haji Hasrin Kamal Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ merangkap Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor kepada Encik Hayat Nurullah bin Jamalulil, Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Acara) Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia Dan Sukarelawan). Turut hadir Encik Tunaim bin Satiman, Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Selatan (Southern Volunteers).
Semoga dengan inisiatif awal ini akan dapat meringankan beban mangsa banjir kelak dalam menghadapi banjir dalam keadaan persekitaran yang bersih dan selamat.

PROGRAM PEMBANGUNAN USAHAWAN TUKANG KASUT PERBADANAN ISLAM JOHOR TAHUN 2024

03 Disember, JOHOR BAHRU – Penyerahan bantuan peralatan bagi Program Pembangunan Usahawan Tukang Kasut PIJ Tahun 2024 telah berlangsung di sekitar daerah Johor Bahru, Pasir Gudang, dan Kota Tinggi.
Encik Muhamad Faisal Bin Ahmad, Penolong Pengurus Pembangunan telah hadir selaku wakil rasmi Pengurus Besar manakala pihak Perbadanan Usahawan Johor telah diwakili oleh Cik Umi Kalsom binti Nizam, Pembantu di Jabatan Pembangunan Usahawan PUJB selaku wakil rasmi Pengarah Eksekutif PUJB.
Pada tahun ini, seramai 25 orang peserta telah terpilih untuk menerima bantuan ini dimana setiap peserta bukan sahaja diajar teori berkaitan pemasaran produk dan pengurusan perakaunan yang efisien, malah setiap peserta juga menerima peralatan / mesin untuk mengembangkan lagi perniagaan yang sedia ada.
Sebagai sebuah Badan Berkanun Kerajaan Negeri Johor, PIJ komited dalam mengembangkan sektor keusahawanan khususnya di Negeri Johor agar dapat merancakkan ekonomi Negeri Johor secara amnya. Semoga dengan adanya bantuan seperti ini, lebih banyak usahawan yang berdaya saing pada masa akan datang.