LAWATAN BANTUAN AMAL JARIAH PERBADANAN ISLAM JOHOR (PIJ)

29 April, JOHOR BAHRU – Lawatan ke kediaman Puan Sumita Hani Binti Jelani, ibu kepada Cik Siti Norhidayah Binti Omar, penerima Bantuan Perubatan, Bantuan Amal Jariah PIJ.
Perbadanan Islam Johor (PIJ) melalui Bantuan Amal Jariah PIJ, telah menyumbangkan bantuan satu unit kerusi roda kepada Cik Siti Norhidayah Binti Omar yang mengalami masalah kurang upaya mental sejak lahir, kini beliau berusia 25 tahun.
Encik Khirul Nizam bin Mat Said, selaku wakil rasmi Pengurus Besar PIJ, telah turut serta dalam lawatan ini diiringi oleh Tuan Haji Azizi Redza Bin Zainal, Pengurus Pembangunan Kanan PIJ.
Diharapkan pemberian sumbangan ini boleh membantu melancarkan pergerakan harian beliau. Semoga dengan adanya Program Bantuan Amal Jariah PIJ ini dapat memberikan impak yang positif dalam membangunkan ummah di Negeri Johor.

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 1445H

22 April 2024, Johor Bahru – Perbadanan Islam Johor (PIJ) dengan kerjasama Anak Syarikat dan Kumpulan telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1445H bertempat di Dewan Kencanapuri, Pulai Spring Resort, Johor Bahru, Johor.
Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PIJ ini diserikan lagi dengan kehadiran Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dan Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Islam Johor.
YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani dan YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid turut meluangkan masa untuk merakamkan gambar kenang-kenangan bersama kakitangan PIJ dan juga tetamu lain yang turut hadir memeriahkan majlis ini.
Majlis bermula seawal jam 11.00 pagi sehingga 3 petang dan lebih 400 orang yang hadir memeriahkan majlis. Insya-Allah, majlis sambutan aidilfitri ini akan diadakan setiap tahun bagi meraikan bulan syawal serta memantapkan jalinan ukhwah sesama kita.

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2024

اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ
لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ
اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Alhamdulillah, takbir 1 Syawal bergema diiringi dengan tasbih dan tahmid, menandakan kesyukuran tanda kemenangan menyempurnakan Rukun Islam yang ketiga.
Semoga kita diberikan kesempatan untuk bertemu lagi dengan Ramadan yang penuh maghfirah pada tahun hadapan, InsyaAllah.
Di pagi raya kita bersuka,
Syukur pada Yang Maha Esa,
Maafkanlah segala silap luka,
Bersama raikan hari bahagia.
Pandu cermat, semoga sampai ke destinasi dengan selamat.
Selamat Menyambut Aidilfitri, 1445H
Ikhlas dari Pengurus Besar serta warga kerja Perbadanan Islam Johor.

MAJLIS PENYERAHAN ZAKAT PERNIAGAAN BERSAMA YAB MENTERI BESAR JOHOR

2 April, Johor Bahru – Perbadanan Islam Johor (PIJ) dan anak-anak syarikat dalam kumpulan menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,315,756.58 kepada Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) bagi tahun 2023.
Penyerahan telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar PIJ, Encik Khirul Nizam bin Mat Said kepada Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi dalam satu majlis yang diadakan di Kediaman Rasmi YAB Menteri Besar Johor di Bukit Saujana, Johor Bahru.
Turut hadir, wakil pengurusan PIJ dan anak-anak syarikat dalam kumpulan PIJ.

MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN AMAL JARIAH PIJ KEPADA PERTUBUHAN KEBAJIKAN ANAK-ANAK YATIM JOHOR (RUMAH BARKAT)

1 April, Johor Bahru – PIJ telah menyumbangkan sebanyak RM10,000.00 kepada Pertubuhan Kebajikan Anak- Anak Yatim Johor (RUMAH BARKAT) dalam usaha untuk membantu meringankan beban perbelanjaan dan menjaga kebajikan pelajar anak-anak yatim tersebut.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Abdul Rahman Bin Salleh, Pengurus Besar. Turut hadir adalah Tuan Haji Ahmad bin Abu Bakar, Pengerusi PKAYJ, Timbalan Pengurus Besar PIJ dan Pengurus Pembangunan Kanan PIJ.
Semoga dengan pemberian sumbangan ini memberi sinar kebahagiaan kepada anak- anak yatim ini dalam membuat persiapan menjelang syawal.

MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN AMAL JARIAH PIJ KEPADA POLITEKNIK IBRAHIM SULTAN

31 Mac, Johor Bahru – Perbadanan Islam Johor (PIJ) telah menyumbangkan sebanyak RM10,000.00 kepada Tabung Kebajikan Pelajar Politeknik Ibrahim Sultan dalam usaha untuk membantu meringankan beban perbelanjaan dan menjaga kebajikan pelajar tersebut selama pengajian mereka di sana.
Selain itu, PIJ turut menyumbangkan 42 unit mesin pencetak kepada pelajar terpilih dalam usaha memudahkan urusan pengajian pelajar tersebut.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Abdul Rahman Bin Salleh, Pengurus Besar. Turut hadir adalah Tuan Haji Ulaimi bin Yahya, Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan, Timbalan Pengurus Besar PIJ dan Pengurus Pembangunan Kanan PIJ.
Semoga dengan pemberian sumbangan ini boleh membantu pelajar dalam meneruskan pengajian.