SEJARAH

Maahad Johor yang diasaskan pada tahun 1960 sebenarnya telah mula ditaja pada tahun 1958, iaitu semasa Y.M.Ungku Ismail menjadi Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor. Pada peringkat awalnya idea mewujudkan Maahad Johor telah dikemukakan oleh Persatuan Pelajar Sekolah Arab Kluang yang kemudiannya diajukan oleh Ustaz Mohd Lazim Bin Saim kepada pihak jabatan Agama Islam Johor.

Di zaman Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Datuk Hj. Hassan Bin Yunus, idea penubuhan Maahad Johor telah direalisasikan di dalam mesyuarat yang dipengerusikan olehnya sendiri pada tahun 1958.


Isu penubuhan ini telah disampaikan oleh Tuan Haji Abdul Ghani Bin Hj. Yahya. Walaupun cadangan itu mendapat tentangan hebat daripada ahli mesyuarat pada peringkat awalnya namun Hj. Abdul Ghani terus mendesak agar Maahad Johor perlu ditubuhkan dengan dua objektif :

Pertama :
Untuk melihat sebuah Sekolah Menengah Arab yang ulung muncul di Negeri Johor sebagai pusat pengajian yang berperanan memperkembangkan agama Islam di Negeri Johor ini.

Kedua :
Keadaan masyarakat Melayu yang menurut pandangan beliau sangat lemah dalam hal-hal agama pada masa itu.

Akhirnya atas desakan itu, maka penubuhan Maahad Johor telah dipersetujui oleh ahli-ahli mesyuarat. Dengan itu, sebuah Jawatan kuasa Penaja telah dibentuk, terdiri daripada enam orang ahli termasuk seorang Pengerusi dan seorang Setiausaha. Mereka ialah :

Pengerusi :
Datuk Haji Abdul Jalil Bin Hj. Hassan
Setiausaha :
Hj. Muhammad Nasir Bin Hj. Muhammad Ali
Ahli Jawatankuasa :
Hj. Ismail Bin Omar Abdul Aziz
Hj. Abdul Ghani Bin Hj. Yahya
Cikgu Talib Bin Kassim
Syed Othman Bin Ali Al-Idrus

Sebenarnya penubuhan Maahad Johor yang menggunakan Bahasa Arab sepenuhnya tidak ada dalam dasar Kerajaan Johor tetapi disebabkan persetujuan telah dicapai bagi penubuhannya di Johor Bahru, maka Kerajaan Johor telah bersetuju dan merestui penubuhan Maahad Johor. Malah Kerajaan Johor telah mengurniakan sebidang tanah di Jalan Datin Halimah, Larkin Lama, Johor Bahru sebagai tapak Maahad Johor dan bersetuju untuk memberikan bantuan kewangan. Oleh kerana Kerajaan Johor tidak dapat menampung pembiayaan pembinaan Maahad Johor seratus peratus, maka pihak Jabatan Agama Islam Johor telah mengarahkan Bahagian Zakat dan Baitulmal menguruskan pembinaan bangunan Maahad Johor.

TUJUAN PENUBUHAN

Diantara tujuan penubuhan Maahad Johor ialah :
1. Untuk memartabatkan pengajian Agama Islam, Bahasa Arab dan yang berkaitan dengannya.
2. Untuk mengeluarkan pelajar-pelajar yang layak melanjutkan pengajian ke kolej-kolej dan universiti.
3. Untuk mengeluarkan pelajar-pelajar yang layak menjadi Imam, kadi, para pendakwah dan sebagainya.
4. Untuk menghasilkan golongan cerdik pandai dan intelek Islam di dalam pelbagai bidang bagi memenuhi kehendak dan keperluan masyarakat dan negara dalam usaha meningkatkan lagi syiar Islam khususnya di negeri Johor.

LOKASI DAN BANGUNAN MAAHAD JOHOR

Di awal penubuhannya Maahad Johor terletak di Jalan Datin Halimah, Larkin Lama, Johor Bahru, iaitu kira-kira 4 kilometer dari bandar Johor Bahru dan berhadapan pula dengan Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim (MPTI). Bangunan Maahad Johor yang dibina pada masa itu hanya mengandungi sebuah bilik yang dijadikan asrama pelajar-pelajar tetapi tidak dapat menampung bilangan pelajar yang ramai. Malah tidak terdapat bilik guru dan kantin sekolah dibangunan ini.

Bangunan Maahad Johor ini tidak dapat menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah pada tahun berikutnya (1961). Oleh itu, pihak Jabatan Agama Islam Johor telah membina bangunan tambahan disebelah bangunan yang sedia ada. Walaupun berada dalam keadaan serba kekurangan, namun Maahad Johor tetap menjadi tumpuan pelajar-pelajar dari segenap daerah Johor dan luar Negeri Johor. Ini kerana, Maahad Johor adalah satu-satunya tempat untuk melanjutkan pelajaran setelah tamat pengajian diperingkat I’dadi.

Oleh kerana bangunan asal Maahad Johor di Jalan Datin Halimah tidak mampu menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah maka, pihak Jabatan Agama Islam telah memindahkan Maahad Johor ke lokasi barunya yang terletak dikawasan perumahan, iaitu di Jalan Beringin, Taman Kebun Teh, Johor Bahru. Bangunan baru Maahad Johor ini adalah bekas bangunan Taman Bimbingan Kanak-Kanak Inggeris yang telah dibeli oleh Jawatankuasa Zakat Negeri Johor dari Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1967 yang kemudiannya diserahkan kepada Baitulmal Negeri Johor.

Pihak Baitulmal kemudiannya telah bermurah hati memberi tumpang kepada Maahad Johor sementara menunggu pembinaan bangunannya yang baru yang dinamakan Kompleks Islam Negeri Johor yang akan dibina di satu kawasan yang berhampiran dengan Masjid Jamek Sultan Abu Bakar di mana kelak bangunan Maahad Johor yang tetap akan dibina. Bangunan Maahad Johor yang terletak di Jalan Beringin ini mempunyai 11 buah bilik kelas, dan masing-masing satu bilik untuk bilik guru, perpustakaan, bilik stor, bilik rawatan, Bilik Pengetua dan bilik Pejabat Pentadbiran. Bangunan Maahad di Jalan Beringin ini digunakan sehingga Julai 1992. Pada Ogos 1992, Maahad Johor telah berpindah kebangunannyan sendiri di Jalan Gertak Merah.

Dari segi fizikalnya bangunan Maahad Johor di Kompleks Islam ini terdiri daripada tiga blok. Blok pertama ialah bangunan pentadbiran yang terdiri daripada bilik pejabat, bilik guru, bilik sumber, maktabah, musolla, bilik fotografi, bilik mesyuarat, bilik stor, bilik pengetua, bilik penolong kanan I dan bilik penolong kanan II.

Blok kedua adalah bangunan akademik yang terdiri daripada tiga tingkat yang mengandungi 9 buah bilik kelas, 2 buah makmal sains, 2 bilik sains rumahtangga, bilik guru perempuan, bilik komputer, bilik persatuan dan kelab pelajar serta bilik skim buku teks (SPBT). Blok ketiga pula terdiri daripada 2 buah bangunan asrama, iaituasrama putera dan asrama puteri. Setiap blok bangunan asrama tersebut mempunyai tiga tingkat dan mengandungi 33 bilik yang boleh menampung 330 orang pelajar. Setiap blok asrama tersebut mempunyai 2 buah rumah untuk Warden dan sebuah bilik rawatan. Diantara dua blok asrama ini pula terdapat sebuah bangunan Dewan Makan sementara disebelah atasnya pula terdapat Surau Besar Maahad Johor.

Kembali ke atas